Thursday, February 24, 2011

Situasi 23 : Anak Ikan~

Assalamualaikum…


Minggu ini merupakan minggu ketujuh dan juga merupakan minggu yang dipenuhi dengan tugasan yang masih tertunggak. Namun begitu, blog ini tidak dilupakan kerana merupakan salah satu tugasan yang perlu diselesaikan. Apa yang ingin saya bicarakan adalah berkaitan perkataan yang mempunyai dua makna yang berbeza. Terdapat banyak perkataan yang mempunyai pelbagai makna yang sering kita gunakan dalam kehidupan seharian kita. Ikan menurut Kamus Dewan membawa maksud sejenis binatang yang hidup di dalam air dan bernafas melalui insang (bertulang belakang).  Namun kita bukanlah ingin bercerita tentang ikan tetapi :

“ANAK IKAN”

“Anak ikan” merupakan perkataan yang sering kita dengar dan juga kita gunakan. Namun tahukah anda semua bahawa “anak ikan” ini boleh membawa makna yang negatif. Saya rasa anda semua sudah tahu akan hal ini bukan.


                Anak ikan : Anak kepada ibu dan ayah ikan.
                Anak ikan : Lelaki muda yang menjadi lelaki simpanan kepada perempuan golongan berada ( mengikut kefahaman saya).



Dapat dilihat bahawa “anak ikan” mempunyai dua makna yang sangat berbeza. Penggunaan “ anak ikan” dapat dilihat dalam kalangan masyarakat kini. Apa yang membuatkan saya merasa risau adalah maksud anak ikan yang pada mulanya mempunyai maksud yang positif telah mula digunakan dengan membawa maksud yang sebaliknya untuk menggambarkan sesuatu yang tidak enak didengar.  Carian di Google Images juga lebih banyak menunjukkan gambar “anak ikan” yang membawa maksud negatif.


Monday, February 21, 2011

Situasi 22 : Peribahasa~

Assalamualaikum semua..

Hari ini saya akan berbicara berkenaan dengan peribahasa yang sering digunakan dalam kehidupan harian masyarakat kita. Peribahasa merupakan kiasan yang membawa maksud yang mendalam  untuk menyindir dalam ayat yang membawa maksud tersirat. Peribahasa juga sering digunakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Contohnya, seperti golongan masyarakat di kampung, mereka menggunakan peribahasa dalam perbualan harian mereka. Antara peribahasa yang sering digunakan dalam perbualan adalah seperti berikut:

Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Kais pagi, makan pagi.

Ukur baju di badan sendiri.

Talam dua muka.

Alah bias tegal biasa.

Penggunaan peribahasa dalam kehidupan harian mereka menunjukkan  bahawa mereka tahu menggunakan pengaruh bahasa Melayu dalam kehidupan harian mereka. Apa yang saya bicarakan bukanlah rekaan semata-mata tetapi ia berlaku di kampung saya sendiri di Kedah. Penggunaan peribahasa ini amat lazim digunakan bagi golongan-golongan yang berumur dan memberikan impak yang baik kepada kanak-kanak dan golongan muda. Kadang-kadang ada juga peribahasa yang direka sendiri oleh golongan-golongan berumur ini yang saya sendiri tidak dapat menangkap maksud di sebaliknya. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang mempunyai pelbagai kegunaan dan juga mempunyai faedah-faedah tertentu dalam menyampaikan sesuatu perkara iaitu menyampaikan maksud tersirat. Sebagai golongan yang remaja dan boleh dikategorikan sebagai terpelajar kita seharusnya menggunakan peribahasa dalam perbualan harian kita. InsyaAllah..

Situasi 21 : Maggi dan Colgate~

Assalamualaikum semua…

Maggi, Colgate, Cintan, Sedaap, Darlie, Mamee dan sebagainya. Pernahkah kita melihat produk-produk ini di kedai?. Jawapannya sudah tentu kita pernah melihat dan membelinya bukan. Apa yang ingin saya bicarakan di sini ialah kita sering menggunakan jenama sesuatu produk untuk membeli produk yang berjenama lain atau sering memanggil produk tersebut dengan jenama yang lain. Contohnya ubat gigi, saya pasti dalam kalangan kita jarang sekali menyebut ubat gigi tetapi menyebut Colgate. Begitu juga dengan mee segera, kita sering memanggil Maggi iaitu salah satu jenama mee segera.


Gambar-gambar tersebut merupakan jenama yang sering digunakan apabila membeli barangan yang sama jenis dengan jenama tersebut.

A : Jom teman aku p beli Maggi sat.
B : Jom…
A : ( Sampai di kedai mengambil mee segera berjenama Mamee)

Hal ini kerana persekitaran dan tahap kepopularan barangan tersebut telah mempengaruhi percakapan kita dalam kehidupan seharian. Sepatutnya kita memanggil sesuatu benda atau produk dengan nama yang betul seperti mee segera tanpa memanggil jenama produk tersebut. Tabiat ini sebenarnya sudah sekian lama bertapak dalam masyarakat kita. Oleh itu, saya kira kita seharusnya membezakan nama atau jenama sesuatu produk supaya kita dapat membezakan antara jenama-jenama produk yang terdapat di pasaran. Selain itu, tabiat ini mungkin akan diikuti oleh anak-anak kecil dan boleh mendatangkan masalah kelak apabila mereka bersekolah kerana tidak tahu membezakan jenama dan jenis produk.

Saturday, February 19, 2011

Situasi 20 : Alahai Remaja~

Assalamualaikum..
 Pernahkah kita bertemu dengan rakan kita?. Bagaimana kita memanggil rakan kita?. Apa yang ingin saya bicarakan di sini adalah tentang bagaimana cara remaja sekarang menegur rakan-rakan atau orang-orang disekelilingnya. Hal ini kerana terdapat pelbagai panggilan yang digunakan oleh remaja pada masa kini. Antaranya ialah:

                A : Woi..Ko ingat aku tak?
                B : Gilerla ko.. keta bukan main lagi..dah kaya ka skang?
                C: Babi.. Hang dok mana la ni? Lama tak jumpa.. Haram sungguh.. Saheh lupa kawan-kawan.
                D : Woi boroi… Hang nak p mana?

Di atas merupakan contoh-contoh panggilan yang kurang sopan yang pernah saya dengar dan hadapi sendiri.  Panggilan-panggilan yang ditunjukkan di atas sering digunakan dalam kalangan remaja pada masa kini. Bagi saya walaupun seseorang rakan tersebut rapat dengan kita dan sudah biasa dengannya, kita tidak sepatutnya memanggil dengan panggilan yang ditunjukkan di atas. Budaya di atas mencerminkan sikap dan budaya yang semakin runtuh dalam kalangan masyarakat. Remaja sekarang tidak lagi tahu menghormati orang lain dan sering menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya. Bagi saya panggilan-panggilan di atas boleh ditukarkan dengan panggilan yang lebih sopan dan tidak menggunakan kata-kata kesat. Sebagai orang Malaysia yang mempunyai nilai budaya yang tinggi panggilan-panggilan seperti di atas tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, sebagai seorang belia, kita seharusnya mengubah cara percakapan kita kepada yang lebih baik dan mengikut bahasa Melayu yang betul. InsyaAllah..


Situasi 19 : Pemandu Bas~

Assalamualaikum..

Setiap manusia perlu ada sifat kesabaran dalam diri mereka. Hal ini kerana sifat ini merupakan sifat yang amat baik dan mendorong kita untuk mengeluarkan kata-kata yang baik walaupun dalam keadaan yang tegang.  Di sini saya ingin membicarakan sikap sabar dan ramah yang terdapat dalam diri salah seorang pemandu bas KHAR-KAMPUS. Sikapnya yang ramah membuatkan setiap pelajar merasa senang untuk bersembang dengannya. Selain itu, dia juga pada pandangan saya sangat sabar dengan kerenah pelajar-pelajar yang sentiasa berebut semasa menaiki bas. Antara dialog-dialognya yang kadang-kala mencetuskan ketawa pelajar-pelajar yang menaiki basnya :

                Pemandu bas : Baik-baik dik.. jatuh nanti..
                Pemandu bas : Jaga tangan tu tersepit nanti, pak cik yang susah..

 Tidak pernah saya melihat dia meninggikan suaranya kepada pelajar-pelajar yang menaiki bas seperti sesetengah pemandu bas dan beliau juga murah dengan senyuman. Selain itu juga, dia akan cuba membolehkan basnya penuh dengan pelajar-pelajar kerana tidak mahu menghampakan pelajar-pelajar yang telah lama menunggu bas. Hal ini menunjukkan bahawa dia sangat sabar walaupun pelbagai kerenah pelajar yang perlu ditempuhi olehnya setiap hari.  Namun, kadang-kadang saya dapati ada pelajar yang tidak mengucapkan terima kasih sebagai ucapan penghargaan kepadanya. 

Bagi saya, ucapan tersebut walaupun sekadar ucapan kadang-kadang boleh menyejukkan hati orang yang penat bekerja seperti pemandu bas tersebut. Bagi saya juga setiap pekerjaan yang dilakukan waima sebagai penjaga kaunter kedai runcit sekalipun merupakan suatu pekerjaan yang amat memenatkan dan meletihkan. Oleh itu, kita seharusnya menghargai kesabaran yang telah ditonjolkan oleh sikap pemandu bas tersebut. InsyaAllah..

Situasi 18 : Sindrom Latah.

Assalamualaikum rakan-rakan sekalian..



Pernahkah anda semua mendengar dan melihat orang yang melatah?. Saya pasti anda semua  pernah melihat dan mendengar orang yang melatah bercakap. 

Bagi saya melatah merupakan salah satu penyakit yang amat merimaskan. Hal ini kerana sekiranya ada orang lain yang mengetahui hal tersebut mereka akan berterusan mengusik supaya orang yang melatah tersebut supaya melatah. Melatah juga terjadi dalam golongan remaja juga dalam golongan tua. Ada yang mengatakan sekiranya kita sering mengganggu orang yang melatah maka kita akan berjangkit dan mula melatah. Oleh itu, janganlah kita mengganggu orang-orang yang melatah kerana semasa melatah mereka tidak sedar dan menyebabkan mereka merasa penat.Apa yang hendak saya bicarakan di sini adalah mengenai perkataan-perkataan yang sering  keluar semasa seseorang tersebut melatah.

Orang yang melatah adakalanya mengeluarkan kata-kata yang baik dan mengikut orang yang mengusiknya. Namun, adakalanya pelatah ini akan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Contohnya seperti, celaka, babi, mencarut dan sebagainya. Hal ini merupakan fenomena biasa dalam kalangan masyarakat kita. 


Kata-kata yang dikeluarkan oleh pelatah-pelatah ini kadang-kadang tidak elok didengari oleh kanak-kanak. Hal ini kerana kalau pelatah tersebut orang tua, maka dia akan mengeluarkan kata-kata yang agak lucah dan kurang sopan. Fenomena ini juga berkait rapat dengan bahasa kerana melatah akan mengeluarkan kata-kata yang merupakan bahasa yang digunakan seharian.  Oleh itu, kita seharusnya tidak menggangu dan mengejek orang-orang yang mempunyai penyakit latah ini kerana kita mungkin dikhuatiri berjangkit. Apa yang saya tulis merupakan pendapat saya sendiri, sekiranya ada di antara kalian yang tidak setuju sila betulkan kesalahan saya ini. InsyaAllah…

Thursday, February 17, 2011

Situasi 17 : Mak Saya.

Assalamualaikum…
Hari ini merupakan satu hari yang amat memenatkan ditambah pula dengan keadaan diri saya yang kurang sihat disebabkan oleh selesema. Pada waktu-waktu beginilah saya rasa kehadiran seorang ibu sangat penting dan saya sangat merindui ibu  saya. Saya bukanlah hendak menceritakan perihal ibu saya tetapi ada sesuatu yang perlu saya coretkan disini ketika saya berbual dengan ibu saya semasa di kampung pada cuti Hari Raya Cina yang lalu.

Emak : Tot ( Bukan nama sebenar) tak dak dah…
Saya : La… Bila dia mati mak? Sakit apa?
Emak : Hang ni… Bukan mati la.. dia tak dak dah sebab kena tangkap ngan polis la.
Saya : OOooo… Ingatkan mati..

Cuba perhatikan perhatikan perkataan yang telah dimerahkan. Perkataan tersebut mempunyai dua makna yang berbeza. Seperti yang dapat kita lihat dalam dialog saya bersama ibu saya, penggunaan perkataan “ tak dak dah” yang bermaksud sudah tiada. Dalam situasi di atas, ibu saya ingin memberitahu saya bahawa Tot sudah ditangkap polis bermakna dia sudah tiada di kampung tersebut. Manakala saya telah salah menafsir dengan mengatakan bahawa Tot sudah mati. Hal ini kerana “ tak dak dah” boleh membawa maksud sudah tiada iaitu sudah tiada di sesuatu tempat atau meninggal dunia iaitu sudah tiada di dalam dunia ini. Oleh itu,sekiranya kita  ingin menjelaskan sesuatu haruslah ia disusuli dengan perkara yang ingin diterangkan dengan jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan fahaman kepada orang lain. “ Tak dak dah “ yang membawa maksud sudah tiada telah menyebabkan saya terkeliru dengan mengingat orang yang diceritakan oleh ibu tersebut telah mati. 

Wednesday, February 16, 2011

Situasi 16 : Kedah Darul Aman.

Assalamualaikum..

Kedah merupakan salah satu negeri yang terletak di bahagian utara tanah air. Negeri Kedah juga merupakan  tempat kelahiran saya dan saya berbangga menjadi anak Kedah.  Kedah mempunyai keistimewaan dialeknya yang tersendiri. Apa yang hendak saya ceritakan di sini ialah perkataan-perkataan yang sering disebut oleh orang Kedah yang akan menyebabkan berlaku salah faham sekiranya  bercakap dengan orang daripada negeri-negeri lain di Malaysia. 



Cekelat merujuk kepada coklat ataupun gula-gula. Hal ini kerana orang Kedah memanggil gula-gula atau coklat dengan menggunakan satu nama sahaja iaitu cekelat. Begitu juga dengan perkataan roti, orang Kedah akan memanggil biskut sebagai roti dan roti juga di panggil sebagai roti. Hal ini sebenarnya boleh menimbulkan kekeliruan terhadap orang yang bukan berasal daripada Kedah. Selain itu, terdapat juga perkataan-perkataan lain iaitu baloq liat yang bermaksud malas, keleboq yang bermaksud lumpur, cemuih yang bermaksud jemu, cempong bermaksud angkat dan banyak lagi.

 Sebenarnya, saya sendiri berasa kelakar dan sering berfikir bagaimana perkataan tersebut tercipta. Penggunaan perkataan-perkataan ini sememangnya merupakan perkara lazim di Kedah dan merupakan perkara biasa semasa berbual. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya dapat membezakan bahasa dialek dan juga bahasa Melayu yang betul. Sebagai seorang anak jati Kedah saya berbangga kerana Kedah mempunyai pelbagai perkataan yang sememangnya lain daripada yang lain. Di sini saya sertakan perkataan-perkataan dialek Kedah yang lain.

PERKATAAN
SEBUTAN
MAKSUD
ghonot
[gho.not]
 tundukkan badan ketika melalui dibawah sesuatu
ghupin
[ghu.pin]
 kulit kering dari luka
kecek
[ke.chek]
 pujuk
seluloi
[se.lu.loi]
 kerap kali
meghelop
[me.ghe.lop]
 hampir malam
ghona-ghoni
[gho.na]
 warna-warni
ghayup
[gha.yup]
 lesap sekelip mata/ terlalu laju
ghosek
[gho.sek]
 selongkar
nyuloq
[nyu.loq]
 jatuh tersembam/ dibelasah teruk
buloq
[bu.loq]
 lapar sangat
taboh
[ta.boh]
 pukul/ belasah
ghelah
[ghe.lah]
 terkoyak
ghunaih
[ghu.naih]
 cungkil/ kupil
geghek
[ge.ghek]
 basikal
mod
[mot]
 bawak pembonceng/  penumpang
sakan
[sa.kan]
 hebat/ tak sangka
sekeh
[se.keh]
 luku secara sipi
seneghih
[se.ne.ghih]
 selisih





Tuesday, February 15, 2011

Situasi 15 : Bong~

Assalamualaikum…. Saya mulakan dengan ucapan Selamat Menyambut Maulidurrasul buat seluruh umat Islam di dunia. Ceritanya begini, semasa cuti Hari Raya Cina yang lalu saya bercuti selama seminggu di rumah. Sungguh seronok rasanya kerana dapat bersama insan tersayang di rumah. Sesungguhnya sekarang saya amat merindui mereka. Semasa cuti saya sering menonton televisyen maklumlah di kolej kami tidak mempunyai televisyen.  Ketika menonton rancangan Bong di TV9 dan saya tidak  begitu pasti episod  berapa. Terdapat beberapa dialog yang menarik perhatian saya.



Johan : Bong, kita ada masalah problem nih..
Bong : Eh, masalah problem apa pulak? Bukan ke masalah dengan problem tu mempunyai maksud yang sama. Apa la Jo ni..

Apa yang dapat diperhatikan daripada dialog di atas adalah perkataan “masalah problem”  yang digunakan dalam dialog tersebut. Penggunaan perkataan-perkataan tersebut dalam satu ayat yang sama merupakan satu kesalahan bahasa bahkan mencampurkan bahasa Melayu dan juga Inggeris. Hal ini kerana “problem” merupakan bahasa Inggeris yang bermaksud masalah dan  sepatutnya tidak digunakan dalam ayat yang juga mempunyai perkataan “masalah”. Selain itu, dalam dialog tersebut juga jelas menunjukkan penggunaan bahasa campuran. Siaran ini disiarkan di televisyen dan menjadi tontonan umum maka ia boleh menyebabkan orang ramai mengikut dan meniru perkataan tersebut. Di samping itu juga, secara tidak sengaja kita juga sering menggunakan perkataan “masalah problem” tersebut walaupun kita ketahui bahawa ia salah dari segi tatabahasa dan juga bahasa Melayu. Oleh itu, kita seharusnya sedar ketika berbahasa dengan orang lain dan sepatutnya sebagai sebuah produksi yang menghasilkan drama mereka seharusnya lebih peka akan hal ini supaya tidak menjadi ikutan oleh kanak-kanak dan sebagainya. InsyaAllah..



Situasi 14 : Coklat Yang Cair~

Assalamualaikum rakan-rakan sekalian..
Selepas kelas kami keluar menuju ke arah tempat menunggu bas. Keadaan ketika itu panas terik dan menyebabkan kami mengeluh kerana keadaan tersebut dan bas masih belum kelihatan.

                Eni : Weh, abis ledeng coklat aku nih..
                Ida : A’ah.. kan panas ni..
                Sally : Eh, ko beli bile coklat tu?
                Eni   : Tadi la ko xperasan eh..
                Saya : ( Masih terpinga-pinga )




Saya terpinga-pinga kerana tidak faham maksud “ledeng” yang diucapkan oleh Eni. Kemudian, mereka memberitahu saya bahawa “ ledeng” bermaksud cair. Barulah saya faham perbualan mereka tadi.
“ Ledeng” merupakan suku kata dalam bahasa Jawa dan mereka di Johor sering menggunakan perkataan tersebut. Saya sebagai orang Kedah sememangnya tidak pernah mendengar perkataan tersebut sebelum ini.  Oleh itu, kini saya telah mengetahui maksud perkataan “ledeng” tersebut  dan mungkin akan memudahkan saya untuk berkomunikasi dengan orang-orang Jawa kelak. Ini merupakan salah satu perkataan yang saya tahu dan mungkin banyak lagi yang boleh saya pelajari dalam  bahasa Jawa.  InsyaAllah..

Monday, February 14, 2011

Situasi 13 : Pembetulan.

Assalamulaikum..
Pengaruh penggunaan bahasa lisan ataupun bahasa percakapan sebenarnya banyak memberikan masalah kepada pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Melayu. Hal ini kerana pengaruh yang kuat daripada bahasa lisan menyebabkan kita tidak dapat membezakan perkataan yang digunakan dalam bahasa lisan dan juga bahasa Melayu tinggi. Selain itu, semasa kita bercakap, menulis penulisan formal dan membuat pembentangan secara formal di  dalam kelas kita sering menggunakan bahasa lisan ini. Hal ini berlaku kepada saya sendiri iaitu semasa memberi  komen terhadap rakan-rakan yang membuat latihan mengajar di dalam kelas, saya telah ditegur oleh pensyarah saya iaitu En. Razali Ayob kerana menggunakan perkataan ‘kat’.

Saya : ….kat depan..
Pensyarah : bukan ‘kat’ tapi di depan..

Hal ini membuatkan saya sedar betapa besarnya pengaruh bahasa lisan ini kepada kehidupan kita. Kita telah menggunakan perkataan-perkataan tersebut sudah lama dan agak sukar untuk meninggalkannya. Oleh itu, saya berharap saya tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi. Hal ini kerana sebagai seorang pelajar jurusan Bahasa Melayu saya tidak seharusnya melakukan kesilapan tersebut. InsyaAllah..

Situasi 12: Gunting Oh Gunting~

Assalamualaikum semua.. 
Perhatikan dialog di bawah :

C : Tolong amek gunting jap..
B: Nak gunting A..
A: Hah.. Ko nak gunting aku ke? ( Sambil ketawa)



Dialog di atas menunjukkan berlaku salah faham berkenaan makna ayat yang telah dihitamkan tersebut. Apa yang dapat kita perhatikan adalah penggunaan perkataan dan pembinaan ayat yang tidak betul dalam Bahasa Melayu yang boleh menyebabkan berlaku salah faham maksud sebenar yang ingin diucapkan. Sepatutnya B menggunakan contoh ayat seperti berikut :

B : A, C nak pinjam gunting..

Ayat di atas lebih sesuai dan tidak akan berlaku salah faham makna tentang sesuatu perkara yang ingin dibicarakan. Oleh itu, kita haruslah menggunakan Bahasa Melayu dengan baik supaya tidak berlaku salah faham bahasa. Selain itu, dialog B sebenarnya sering digunakan oleh masyarakat pada masa kini. Hal ini mungkin kerana pada pemikiran mereka ayat tersebut betul dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menuturkan Bahasa Melayu dengan betul supaya bahasa kita dapat berkembang dengan lebih meluas. InsyaAllah.

Sunday, February 13, 2011

Situasi 11 : Terima Kasih~

Assalamualaikum..

Pak Cik B : Eh, dik, dik duit baki ni… ( Memanggil dengan nada suara yang kuat)
             A  : A’ah lupe lak..( Mengambil duit baki dan berlalu pergi)



Situasi ini berlaku semasa saya pergi ke pasar malam di Changlun. Apa yang anda dapat perhatikan dalam dialog tersebut ialah sikap jujur seorang peniaga dan juga sikap kurang sopan  A. Hal ini kerana, A langsung tidak mengucapkan “Terima Kasih” kepada peniaga tersebut yang telah berlaku jujur kepadanya. Kadang-kadang tanpa kita sedari kita jarang dan lupa menggunakan ucapan tersebut. 
Kesopanan melambangkan budaya bangsa kita. Selain itu, kita juga seharusnya berbahasa dengan baik dengan orang yang telah melakukan perkara yang baik kepada kita. Sebenarnya ucapan “ Terima Kasih” boleh kita anggap sebagai ucapan penghargaan terhadap jasa seseorang terhadap kita. Namun, terdapat masyarakat seperti A yang tidak tahu tujuan berbahasa dan tidak mempunyai sikap yang sopan terhadap orang lain. Oleh itu, kita sewajarnya mengucapkan ucapan yang baik terhadap sesiapa sahaja yang telah berbuat baik kepada kita.