Thursday, January 27, 2011

Situasi 5 : Proton City~

Assalamualaikum…. Setiap hari kita akan berdepan dengan pelbagai situasi yang berbeza. Situasi-situasi ini berlaku dalam pelbagai gaya dan cara sama ada di dalam kelas, di dalam rumah ataupun bilik, di dalam bas dan sebagainya. Apa yang ingin saya ceritakan ini adalah situasi di dalam kelas di Proton City. Situasi ini berlaku semasa proses pembentangan individu dijalankan. Bagi sesetengah orang mungkin apa yang berlaku atau apa yang diucapkan merupakan perkara yang biasa dan tiada salahnya. Namun, bagi saya yang mengambil subjek Sosiolinguitik, situasi tersebut merupakan sesuatu yang harus dan perlu diubah kerana ianya telah sebati dengan masyarakat. Mengapa saya berkata demikian? . Ini kerana situasi ini sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan kita iaitu dengan mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita berada di dalam kelas Bahasa Melayu. Seperti yang saya katakan tadi, sesetengah orang mungkin boleh menerimanya dan menganggap ianya perkara biasa. Antara ayat-ayat yang diucapkan oleh si pembentang adalah seperti berikut :


Pembentang : …Lecturer kita..
Pembentang : Korang tahu kan?
Pembentang : Just saja je sebut.


Itu adalah antara contoh perkataan yang sering digunakan oleh pembentang di dalam kelas tersebut. Namun banyak lagi perkataan-perkataan lain yang digunakan dan digunakan bersama perkataan Inggeris. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana  bahasa Melayu sudah cukup untuk menerangkan apa yang ingin dihuraikan. Namun begitu,  persekitaran dan masyarakat merupakan faktor mengapa hal ini terjadi. 

Kebiasaan dalam kehidupan kita kadangkala membawa kepada kerosakan bahasa Melayu. Situasi masyarakat hari ini yang sering menggunakan bahasa Inggeris yang digabungkan dengan bahasa Melayu sebenarnya sudah menjadi kebiasaan. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang sayang akan bahasa ibunda kita supaya berubah dengan cara menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tidak mencampurkannya dengan bahasa asing. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah dan perlu dihayati oleh semua golongan masyarakat. InsyaAllah…

Wednesday, January 26, 2011

Situasi 4 : Buang Sampah~

Assalamualaikum… Situasi yang akan diceritakan ini mungkin pernah di alami oleh semua orang. Hal ini kerana ini merupakan situasi biasa yang kita alami tanpa memikirkan betul salah situasi tersebut. Situasi yang saya ingin ceritakan di sini adalah situasi yang dialami oleh saya sendiri. Situasi ini berlaku dalam perbualan seharian kita dengan rakan-rakan kita. Oleh itu, tanpa kita sedari kita telah mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sedap di dengar. Namun, oleh kerana perkara tersebut merupakan perkara biasa maka ianya menjadi biasa sahaja tanpa kita memikirkan kesannya. Antara contoh perbualan saya dengan rakan-rakan saya adalah seperti berikut :

Contoh sampah yang dibuang.

Rakan 1 : Weh, bongok gila budak tu buang sampah kat situ.. .
Rakan 2 : Tu la pasal… Tak nampak kot tong sampah tu. Macam best je wat cam tu.
Saya      : Wat muka tak bersalah lak tu…

Penggunaan  bahasa-bahasa kasar dan slanga seperti  di atas merupakan perkara biasa yang berlaku dalam kalangan remaja sekarang. Tanpa kita sedari, kita juga merupakan penyumbang kemusnahan bahasa Melayu. Contoh perkataan seperti “ bongok” adalah tidak elok diucapkan. Namun, perkataan tersebut sudah biasa diucapkan dan dilakukan tiap-tiap hari serta amat sukar untuk mengawalnya. Penggunaan perkataan “bongok” sebenarnya adalah untuk menunjukkan betapa  singkatnya pemikiran si pembuang sampah dalam perbualan tersebut. Penggunaan perkataan yang lebih sopan boleh digunakan untuk menggantikan perkataan “bongok “ tersebut. Oleh itu, saya berharap saya dan rakan-rakan saya akan cuba mengawal penggunaan perkataan “bongok”  tersebut. Penggunaan bahasa Melayu bukanlah mendatangkan kerugian kepada kita malah kita berusaha untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu itu sendiri. selain itu, penggunaan perkataan-perkataan yang dianggap kasar seharusnya dikurang atau dikawal oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menghargai bahasa Melayu.  Saya berharap rankan-rakan saya tidak berkecil hati dengan apa yang telah saya tulis. Ini merupakan teguran untuk kita bersama, dan sama-samalah kita berusaha untuk mengubahnya.InsyaAllah..

Contohilah kanak-kanak ini yang tahu membuang sampah di dalam tong sampah.

Tuesday, January 25, 2011

Situasi 3 : Gong Xi Fa Cai~

Assalamualaikum... Pada hari sabtu yang lepas, saya dan rakan-rakan iaitu Eni dan Ida telah pergi ke pasar malam ( petang) pekan Tanjung Malim. Semasa kami berjalan-jalan meninjau apa yang ingin di beli, kami telah berhenti di sebuah kedai buah dan mendengar perbualan beberapa orang pelajar UPSI. Ini adalah antara perbualan mereka.


Pelajar 1 : Bapak besar limau tu..
Pelajar 2 : A’ah..a’ah..besar giler..
Pelajar 1 : Mesti manis… sedapnye..

Perbualan mereka di kedai buah itu menarik perhatian saya. Apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah situasi penggunaan bahasa slanga. Bagi pelajar tersebut, tiada apa yang salah dengan apa yang diucapkan oleh mereka tapi bagi saya ada sesuatu yang mungkin boleh diperbetulkan. Semasa mereka terkejut terhadap saiz buah limau tersebut, salah seorang pelajar itu telah mengeluarkan perkataan “bapak”. “Bapak” seperti yang kita merujuk kepada orang yang menjaga kita dari kecil sehingga besar dan juga seorang ayah, papa, abah dan pelbagai jenis panggilan lagi. Namun, bagi pelajar tersebut mungkin perkataan “bapak “ itu telah menunjukkan darjah kebesarannya buah tersebut.

Bagi pendapat saya, sebagai seorang pelajar yang terpelajar kita tidak seharusnya menggunakan perkataan tersebut. Hal ini boleh digantikan dengan perkataan lain yang mungkin lebih sesuai dengan situasi tersebut seperti “Wah, besarnya limau itu.” Kadang-kadang perkataan-perkataan yang keluar tersebut di luar kawalan kita. Oleh itu, sama-sama lah kita mengawal apa yang ingin kita bicarakan supaya bahasa yang kita gunakan merupakan bahasa yang baik dan betul dari susunan tatabahasanya. InsyaAllah….

Friday, January 21, 2011

Situasi 2 : Bas Catar~

Assalamulaikum semua.. Bertemu lagi kita di situasi yang kedua.  Disebabkan oleh perjumpaan Persatuan Bahasa Melayu maka saya dan sahabat-sahabat baik saya telah ke kampus pada malam hari rabu yang lalu. Setelah selesai perjumpaan tersebut, kami bertiga singgah di kedai runcit depan kampus. Setelah selesai membeli, saya keluar dari kedai dan menunggu di tepi tiang kedai tersebut dan melihat-lihat iklan yang ditampal di tiang tersebut. Apa yang menarik perhatian saya adalah ejaan yang digunakan serta percampuran bahasa. Hal ini menyebabkan saya mengambil gambar untuk membuktikan bahawa ramai dalam kalangan kita tidak lagi mementingkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul.

Iklan tersebut.

Penggunaan perkataan “CUTI STADY WEEK” adalah tidak sesuai. Hal ini kerana percampuran bahasa Melayu dan juga Inggeris akan menyebabkan bahasa Melayu kita rosak  dan menyebabkan kita lupa bagaimana untuk menggunakan bahasa dengan betul. 

Bagi saya sekiranya, beliau yang membuat iklan tersebut ingin menggunakan bahasa Inggeris tidak mengapa tetapi haruslah menggunakan bahasa Inggeris pada keseluruhan ayat bukannya mencampurkannya dengan bahasa Melayu. Tetapi lebih baik sekiranya beliau menggunakan Bahasa Melayu  kerana dapat membudayakan bahasa Melayu itu sendiri dan bukannya merosakkan. saya berharap pengusaha-pengusaha Bas Catar khususnya haruslah mengambil berat dan tidak memandang enteng terhadap iklan-iklan yang ingin dipaparkan kepada umum. hal ini kerana ianya dapat merosakkan bahasa dan akan menjadi ikutan mungkin kepada remaja-remaja yang masih bersekolah. Disini saya bukanlah ingin memburukkan sesiapa namun hanya memberikan sedikit teguran dan juga peringatan buat diri saya sendiri. InsyaAllah…

Thursday, January 20, 2011

Situasi 1 : "Cuba Try Test"

Assalamualaikum semua....


Tiba-tiba teringatkan kampung di Changlun. Alangkah indahnya dapat berada di kampung sekarang. Tapi apa yang saya hendak ceritakan sekarang adalah fenomena biasa bahasa yang sering saya gunakan bersama rakan-rakan di kampung. Penggunaan bahasa yang bercampur sudah sebati dengan budaya masyarakat sekarang. Tidak dinafikan penggunaan bahasa Inggeris telah menyebabkan  kita sendiri lupa makna perkataan yang digunakan dalam bahasa Melayu.

Contoh perkataan yang sering digunakan adalah seperti berikut :

Rakan 1: Wei, padan dak baju ni ngan aku??
Rakan 2 : Hang cuba try test dulu la baru tau.

Gambar hiasan.

Penggunaan perkataan “cuba try test” tersebut sudah menjadi kebiasaan saya dan rakan-rakan. Inilah masalah yang kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah merojakkan bahasa Melayu.
Sepatutnya, penggunaan perkataan Inggeris tersebut tidak perlu digunakan sama sekali. Hal ini menunjukkan betapa kita memandang remeh hal-hal yang berkaitan dengan bahasa. 
Saya berharap dan akan cuba untuk tidak mencampur-adukkan lagi bahasa. InsyaAllah..


Tuesday, January 11, 2011

Coretan Pertama 110111~

Alhamdullillah... akhirnya berjaya juga saya menghasilkan sebuah blog walaupun masih terkial-kial menyesuaikan diri. Blog ini dihasilkan untuk menulis 'diari' bagi menyempurnakan tugasan dalam subjek Sosiolinguistik yang diajar oleh Dr. Siti Saniah. Blog ini bertujuan untuk menulis catatan harian berkaitan dengan bahasa dan masyarakat.

Saya harap dengan kehadiran blog ini, saya akan dapat menyiapkan tugasan 'diari' tersebut dengan jayanya...
Amin..