Tuesday, March 8, 2011

Situasi 30 : Giler~

Assalamualaikum…

Situasi ini pula berlaku semasa saya meneman salah seorang teman saya untuk mengambil duit di mesin ATM Kolej Harun Aminurrashid. Mesin ATM tersebut merupakan satu-satunya mesin ATM yang terdapat di KHAR untuk kegunaan penghuni KHAR dan juga KUO. Oleh itu, kami terpaksa beratur untuk mengambil duit daripada mesin berkenaan. Semasa berbual dengan rakan saya, kami terpandang sebuah motosikal. Kemudian rakan saya telah mengeluarkan satu ucapan yang agak lucu bagi saya iaitu :

A : Giler besar moto tu…


Gambar motor yang lebih kurang sama dengan motor yang diceritakan di atas.

Apabila diperhatikan, ayat tersebut merupakan salah satu ayat yang salah daripada segi susunan tatabahasanya. Selain itu juga, dia juga menggunakan dua kata adjektif dalam satu ayat iaitu ‘besar’ dan ‘gila’. ‘Giler’ di sini adalah untuk menegaskan betapa besarnya moto tersebut bagi pandangan matanya, maka giler digunakan untuk memberi penegasan terhadap besar moto tersebut. Selain itu, dalam kehidupan harian kita, perkataan ‘gila’ sering kita gunakan. Contohnya :

Gemuk gila.
Manis gila.
Tinggi gila.
Penat gila.

Terdapat banyak lagi penggunaan perkataan ‘gila’  ini dalam kehidupan harian kita dan itu hanyalah sebahagianya sahaja. Oleh itu, pada pendapat saya kita tidak seharusnya menggunakan perkataan ‘gila’ tersebut untuk menunjukkan darjah yang paling tinggi dalam sesuatu perkara. Sebagai seorang yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa harian, seharusnya kita lebih sensitive dalam penggunaannya. Kita tidak seharusnya menokok-tambah kepada sesuatu yang bukan berada ditempatnya. oleh hal yang demikian, kita haruslah belajar menggunakan bahasa Melayu secara betul dan baik dalam kehidupan seharian kita. Tidak salah kiranya kita mencuba sesuatu yang baik untuk  kebaikan generasi yang akan datang. 
InsyaAllah…

Monday, March 7, 2011

Situasi 29 : Pinjam Sebatang Pen~

Assalamualikum..

Situasi seterusnya berlaku di dalam kelas Keterampilan Penulis. Kelas ini merupakan kelas bagi subjek minor Kesusasteraan Melayu. Situasi ini berlaku apabila saya meminjam sebatang pen daripada salah seorang rakan sekelas. Selepas menggunakan pen tersebut saya mengembalikan pen tersebut dan mengucapkan “Thank You”
Gambar hiasan.

Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian menjadi kebiasaan yang kadang kala sukar untuk diubah. “ Thank You” terbit secara spontan semasa saya memberikan pen tersebut. Ini jelas menunjukkan pengaruh bahasa Inggeris semakin berleluasa. 
Tidak salah menggunakan bahasa Inggeris tetapi penggunaannya haruslah bersesuaian dan bukannya mencampurkannya dalam bahasa Melayu yang kita gunakan sebagai bahasa kebangsaan kita. Selain “Thank You”, penggunaan kata ganti nama “I dan You” juga menjadi satu kelaziman bagi sesetengah golongan masyarakat dan tanpa segan silu merojakkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini jelas menunjukkan betapa kurangnya semangat masyarakat kita untuk memartabatkan bahasa Melayu. Bagi mereka bahasa Melayu tidak sesuai digunakan untuk urusan seharian mereka. Bagi mereka-mereka yang berfikiran begini ingatlah asal-usul anda dan di mana bumi anda berpijak. Janganlah kita korbankan bahasa Melayu dengan mengagungkan bahasa asing.
 InsyaAllah..

Gambar yang tiada kaitan.

Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita.. 

Situasi 28 : Pekak + Badak~

Assalamualaikum…

A : B…B…( Dengan nada yang agak kuat)
B : (Masih leka memilih tudung)
A : B… Oiiii… Pekak badak betulla…

pekak
+
badak
=
PEKAK BADAK


Di atas merupakan antara dialog yang di dengari oleh saya semasa saya bersama rakan berjalan-jalan di  Pesta Buku ( tetapi lebih banyak gerai yang menjual tudung, selendang dan baju). Dialog ini diucapkan oleh seorang perempuan ketika ingin memanggil rakannya. Dia menggunakan perkataan “pekak badak” yang saya pun kurang pasti mengapa badak dikaitkan dengan pekak. Pekak badak sering diucapkan oleh golongan masyarakat tidak kiralah tua, muda mahupun kanak-kanak.
 Perkataan ini telah bertapak dalam kehidupan harian masyarakat kita sudah lama dan juga semakin sebati dengan bahasa kita. Bagi masyarakat di Kedah perkataan pekak badak sememangnya perkataan yang sering digunakan dan saya kurang pasti di negeri-negeri yang lain. Sebenarnya pekak badak merujuk kepada seseorang yang tidak dengar apabila di panggil (menurut kefahaman saya). Pada pendapat saya, “ pekak badak” merupakan suatu ucapan yang agak kasar dan tidak seharusnya digunakan kerana boleh menyebabkan seseorang itu terasa hati. Oleh itu, molek kiranya kita menggunakan perkataan-perkataan yang lebih halus dan sesuai untuk merujuk kepada sesuatu perbuatan. InsyaAllah…

Sekadar hiburan.

Sunday, March 6, 2011

Situasi 27 : Penceramah Ustaz Akhil Hayy~

Assalamualaikum…



Baru sahaja selepas mendengar ceramah daripada Ustaz Akhil Hayy. Banyak input yang boleh  diambil daripada ceramah beliau. Apa yang saya dapat lihat daripada penyampaian ceramah beliau adalah beliau pandai menarik perhatian golongan muda untuk mendengar ceramah beliau. Beliau sering memuatkan isu-isu semasa dalam ceramah yang disampaikan. Selain itu juga, beliau sering menarik perhatian pendengar dengan suara beliau yang lunak. . Bahasa yang digunakan dalam ceramah lebih kepada bahasa yang mudah difahami oleh golongan remaja sekarang.
Baiklah, di sini saya bukanlah hendak menceritakan perihal Ustaz Akhil Hayy tetapi tentang isi ceramah yang berkaitan dengan situasi yang akan saya bincangkan. Pada suatu ketika saya mendengar beliau menyebut “ Sampai terbelit-belit lidah saya”. Inilah yang ingin saya bicarakan dalam situasi ke -27 ini. Saya pasti ada antara kita juga sering menyebut ayat tersebut. Hal ini berlaku disebabkan oleh terlalu banyak bercakap dengan menggunakan perkataan yang lebih kurang sama seperti :

                Jali janji jumpa Jun juga Jaja jadi jangan jual jagung .

Ayat tersebut boleh menyebabkan kita terbelit lidah. Hal ini kerana penggunaan huruf awalan yang sama dan menyebabkan kita sukar untuk menyebutnya dengan cepat. Pada pendapat saya juga, ayat tersebut dapat menambahkan kecekapan kita dalam berbicara. Saya masih ingin semasa di sekolah menengah, saya dan rakan-rakan seringkali mencipta ayat begini dan cuba menyebutnya dengan cepat. Oleh itu, walau bagaimanapun kita berbahasa, kita seharusnya tahu adab berbahasa itu sendiri dan tidak seharusnya kita mencampur-adukkan bahasa Melayu kita dengan bahasa-bahasa asing yang boleh menyebabkan bahasa Melayu menjadi semakin kebelakang. InsyaAllah…

Friday, March 4, 2011

Situasi 26 : Golongan Lelaki Lembut~

Assalamualaikum kawan-kawan…

Pernahkah kita bertemu dengan pondan, bapok, maknyah atau lelaki lembut?. Saya berpendapat sudah tentu anda pernah bertemu dan mungkin ada di antara kita yang berkawan dengan golongan-golongan ini. Golongan ini merupakan golongan yang berperwatakan lembut dan seperti wanita. Bukan sikap dan pakaian mereka yang ingin saya bincangkan tetapi bahasa yang digunakan mereka bersama golongan-golongan sesame mereka dan juga dengan orang lain juga. Saya juga sering mendengar golongan-golongan ini berbual dan juga bersembang di laman social Facebook. Mereka menggunakan bahasa yang tersendiri dan kadang-kadang saya merasa hairan bagaimana perkataan-perkataan yang mereka gunakan itu wujud. Pelbagai perkataan yang digunakan untuk sesuatu perkara atau benda. Setelah saya mencari di Google, terdapat begitu banyak perkataan lain yang sering digunakan oleh golongan ini. Selama ini saya hanya mengetahui perkataan “nok”,”mak”,”uolss” dan banyak lagi. Di sini saya lampirkan contoh-contoh perkataan lain yang sering digunakan oleh mereka.



menjalang - berlayar 
anak ikan - lelaki muda

askoke - askar
clust taraf - tinggi
muskuls - berotot
merasa - rasakan
dragoon - berpakaian wanita
mak/iols/hem - saya
sheols - dia (perempuan)
heols - dia (lelaki)
melertz - meletup
gurik senja - pondan tua
chantek/santek - cantik
charutan - mengejek
ittew - itu
innew - ini
gittew - gitu
 vogi - anggun
vass - hebat, dahsyat
kekwat - sombong
gayah - homoseksual/gay
veryder - sangat
tacap - bersolek
kaedahnya - bagaimanapun
katanya - fakta
over - melampau
sesuatuh - menimbulkan syak
sesuwei/sesowei - sesuai
apom - rogol
sentap - terasa

dinch - tidak
ado - hodoh
nan ado - tidak berfungsi 


gittew - gitu

can-do/can-dew - boleh tahan
vley? - boleh?
sinnew - sini
sittew - sana
bagai - dan lain-lain
segala - semua
hokey - baiklah
taw - tau
feeling2 - perasan
gigih - rajin
felda - kekampungan
sendu - sedih
nonoks - pondan-pondan
kertu - tua
lentis - melentik
hansi - buruk
fonen - pondan
choi - celaka
uols - engkau
motif - kenapa
harus - harus/wajib
deyols - mereka
cikki/kiki/lala/pepuks - wanita
jah/jork/sajork - sahaja
noks - kak
gorgonz - kacak
hanjeng - anjing
vranganz - berangan
gerdus - gersang
koser - kuasa





Pada pendapat saya, perkataan-perkataan yang saya nyatakan tersebut sebanarnya akan menyebabkan bahasa Melayu itu akan bercampur dengan bahasa-bahasa yang sedemikian. Hal ini boleh memberikan kesan kepada generasi yang akan datang kerana tidak tahu membezakan bahasa Melayu yang betul dengan bahasa basahan, bahasa pasar dan juga bahasa-bahasa yang direka ini. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya tahu menghargai bahasa kebangsaan kita kerana bahasa menunjukkan bangsa itu sendiri. InsyaAllah..



Thursday, March 3, 2011

Situasi 25 : Dari Kelantan~

Assalamualaikum…

Terdapat pelbagai jenis dialek di Malaysia antaranya dialek Kedah, dialek Kelantan, dialek Sabah, dialek Sarawak dan banyak lagi. Dialek merupakan sesuatu yang sangat unik dan seronok apabila kita mengetahui  dialek sesuatu daerah, negeri dan sebagainya. Sebagai seorang yang berasal daripada Kedah sudah tentu saya kurang memahami dialek-dialek lain. Namun begitu, saya masih dapat memahami apa yang diperkatakan oleh mereka yang mempunyai dialek yang pekat. Ada antara  penutur-penutur dialek ini sukar untuk membuang dialek mereka semasa berbual dengan orang luar yang mempunyai dialek yang berlainan. Begitu juga saya yang mempunyai teman sebilik yang berasal daripada Kelantan. Dialek yang digunakan pekat dan dia juga tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul (bahasa luar) semasa berbual dengan saya. Seringkali saya akan menyuruhnya mengulang  perkataan yang diperkatakan olehnya. Contohnya :

                Kak Ina make doh ko?
                Jange kelik lambat-lambat..
                Jangoknyo demo..
                Demo nok g mano..
                Yak… Agah teh dio..
                Smartnyo gewe demo..

Walaupun ada perkataan yang bagi saya sangat pelik dan lain namun ia sangat unik jika difikir-fikirkan semula. Hal ini kerana bahasa kadangkala melambangkan sesuatu bangsa dan juga tempat itu sendiri. Bagi saya, tidak salah kiranya kita untuk bertutur menggunakan dialek daerah masing-masing kerana ia melambangkan keunikan bahasa itu sendiri. Selain itu, ia dapat menambahkan kosa kata saya dan seterusnya nanti mungkin saya dapat bertutur dalam dialek Kelantan dengan baik. InsyaAllah…

Situasi 24 : Adab dan Sopan~

Assalamualaikum..
Setelah beberapa hari tidak menulis di blog ini, begitu banyak situasi yang ingin saya ceritakan yang berlaku di sekeliling saya pada setiap hari. Situasi ini berlaku semasa saya ingin membayar setelah membeli makanan di sebuah kedai. Apa yang ingin saya ceritakan adalah sikap segelintir manusia yang kurang beradab.
 Hal ini kerana semasa ingin membuat pembayaran di kedai makan tersebut pelanggan akan beratur tetapi tiba-tiba datang seorang perempuan terus meluru ke kaunter pembayaran tanpa melihat saya dan beberapa rakan yang sedang beratur untuk membayar.


Gambar hiasan.

 Perempuan tersebut terus membuat pembayaran tanpa menghiraukan kami serta langsung tidak menunjukkan wajah yang manis iaitu tiada senyuman dan kata-kata maaf kerana telah memotong barisan. Sikapnya tersebut menunjukkan betapa rendahnya pengetahuan tentang adab berbahasa. Bagi saya sekiranya kita berada dalam keadaan kecemasan dan perlu membuat pembayaran seharusnya dia perlu meminta izin daripada kami yang terlebih awal tiba di kaunter tersebut. Namun keadaan sebaliknya berlaku.
 Bagi saya juga, sekiranya kita tahu berbahasa dan beradap perkara tersebut tidak akan berlaku. Seolah-olah  dia sahaja yang berada dikedai tersebut. Pengajaran daripada situasi ini adalah kita harus tahu berbahasa dengan baik dan beradap sopan. 




Kita merupakan masyarakat Melayu yang beradap sopan, oleh itu tidak seharusnya kejadian tersebut berlaku. Bahasa yang baik akan memberi persepsi yang baik kepada orang lain. Oleh itu, sebagai seorang yang tahu berbudi bahasa dan beradap sopan kita seharusnya murah dengan senyuman supaya orang disekeliling senang untuk berdamping dengan kita. InsyaAllah..


Tiba-tiba rasa teringin hendak menikmati laksa.Sedap...