Monday, February 14, 2011

Situasi 12: Gunting Oh Gunting~

Assalamualaikum semua.. 
Perhatikan dialog di bawah :

C : Tolong amek gunting jap..
B: Nak gunting A..
A: Hah.. Ko nak gunting aku ke? ( Sambil ketawa)



Dialog di atas menunjukkan berlaku salah faham berkenaan makna ayat yang telah dihitamkan tersebut. Apa yang dapat kita perhatikan adalah penggunaan perkataan dan pembinaan ayat yang tidak betul dalam Bahasa Melayu yang boleh menyebabkan berlaku salah faham maksud sebenar yang ingin diucapkan. Sepatutnya B menggunakan contoh ayat seperti berikut :

B : A, C nak pinjam gunting..

Ayat di atas lebih sesuai dan tidak akan berlaku salah faham makna tentang sesuatu perkara yang ingin dibicarakan. Oleh itu, kita haruslah menggunakan Bahasa Melayu dengan baik supaya tidak berlaku salah faham bahasa. Selain itu, dialog B sebenarnya sering digunakan oleh masyarakat pada masa kini. Hal ini mungkin kerana pada pemikiran mereka ayat tersebut betul dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menuturkan Bahasa Melayu dengan betul supaya bahasa kita dapat berkembang dengan lebih meluas. InsyaAllah.

Sunday, February 13, 2011

Situasi 11 : Terima Kasih~

Assalamualaikum..

Pak Cik B : Eh, dik, dik duit baki ni… ( Memanggil dengan nada suara yang kuat)
             A  : A’ah lupe lak..( Mengambil duit baki dan berlalu pergi)



Situasi ini berlaku semasa saya pergi ke pasar malam di Changlun. Apa yang anda dapat perhatikan dalam dialog tersebut ialah sikap jujur seorang peniaga dan juga sikap kurang sopan  A. Hal ini kerana, A langsung tidak mengucapkan “Terima Kasih” kepada peniaga tersebut yang telah berlaku jujur kepadanya. Kadang-kadang tanpa kita sedari kita jarang dan lupa menggunakan ucapan tersebut. 
Kesopanan melambangkan budaya bangsa kita. Selain itu, kita juga seharusnya berbahasa dengan baik dengan orang yang telah melakukan perkara yang baik kepada kita. Sebenarnya ucapan “ Terima Kasih” boleh kita anggap sebagai ucapan penghargaan terhadap jasa seseorang terhadap kita. Namun, terdapat masyarakat seperti A yang tidak tahu tujuan berbahasa dan tidak mempunyai sikap yang sopan terhadap orang lain. Oleh itu, kita sewajarnya mengucapkan ucapan yang baik terhadap sesiapa sahaja yang telah berbuat baik kepada kita. 

Saturday, February 12, 2011

Situasi 10 : Si Comel Afif~

Assalamualaikum..


Afif : Mama nak ayaq… ( Selepas bermain dengan sepupu di kampung)

Afif merupakan anak saudara saya yang pertama dan baru berusia 4 tahun. Sebelum ini Afif menggunakan perkataan “air” tetapi setelah berada di kampung hampir 2 minggu dan bermain bersama-sama sepupu di kampung maka perkataan tersebut berubah menjadi dialek Kedah. Hal ini menunjukkan, seseorang kanak-kanak yang baru boleh bercakap akan meniru rakan-rakannya. Begitu juga orang dewasa sekiranya berada disesuatu tempat yang asing selama beberapa tahun menyebabkan orang tersebut akan bercakap menggunakan dialek tempat tersebut walaupun tidak fasih.

 Hal ini kerana masyarakat boleh mempengaruhi dalam berbahasa. Contohnya Afif, dia tidak pernah menyebut “ayaq” namun setelah bermain dengan sepupu yang sememangnya dari Kedah dia menyebutnya kerana terdengar sepupunya itu menyebut “ayaq”.  Masyarakat dan bahasa sememangnya tidak dapat dipisahkan. Oleh itu, sama-samalah kita menjaga bahasa kita. 
Bahasa Budaya Bangsa.

"Sayalah Afif"

Friday, February 11, 2011

Situasi 9 : Perkataan "Hang".

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara... Perhatikan dialog di bawah.

 Anak : Hang tu dok bela anak kesayangan hang ja..
Emak : Awat  kurang ajaq sangat ni.

Situasi ini merupakan situasi yang saya pernah lihat sendiri. Situasi ini berlaku di kampung saya di Kedah. Apa yang diucapkan oleh anak tersebut merupakan ayat yang terlalu kasar untuk ditujukan kepada orang yang tinggi nilainya iaitu ibunya. Sepatutnya, anak tersebut mengeluarkan perkataan yang baik dan tidak meninggikan suara kepada ibunya. Perkataan ‘hang’ merupakan perkataan dialek Kedah dan dalam Bahasa Melayu perkataan tersebut merupakan  kata ganti nama diri orang  kedua.

 Perkataan tersebut boleh dikategorikan kasar sekiranya kita ingin bercakap dengan orang yang lebih tua.  Hal ini sebenarnya telah terjadi di seluruh dunia bukan hanya di kampung saya sahaja. Penggunaan ayat-ayat bahasa Melayu yang kasar yang telah diucapkan oleh anak ini mungkin disebabkan oleh  pergaulan dengan rakan-rakan dan sering bercakap kasar. Oleh itu, sebagai anak kita patut menghormati ibu kita dan menggunakan bahasa yang baik dan sopan semasa berbicara dengan ibu kita. 
Sayangi ibu... Sayangi Bahasa Melayu..



Situasi 8 : Pertandingan Akhir Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa (Russia)




Assalamulaikum...
Video di atas merupakan video Pertandingan Akhir Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa di Malaysia. Video diatas juga merupakan seorang rakyat Russia yang berpidato dengan fasihnya dalam Bahasa Melayu. walaupun mereka bukanlah bangsa Melayu atau orang Malaysia namun dia dapat berpidato dengan baik sekali. hal ini menimbulkan rasa bangga terhadap Bahasa Melayu yang menjadi pilihan rakyat negara asing untuk mempelajarinya. namun, kadang-kala rakyat Malaysia sendiri tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul. walaupun dengan pelat Russianya, dia dapat berpidato dengan bersemangat dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menyampaikan pidato Bahasa Melayu tersebut. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menghargai bahasa kita iaitu Bahasa Melayu. InsyaAllah....

Situasi 7 : Pinggan atau Pinggang~

Assalamualaikum.. Situasi seterusnya adalah seperti berikut. Sila perhatikan gambar di bawah:

 

 " BEKAS LETAK PINGGANG ". Adakah anda semua faham tanda tersebut? Bagi masyarakat Terengganu mereka akan faham manakala bagi masyarakat di negeri-negeri yang lain tanda tersebut akan menimbulkan tanda tanya dan akan menyebabkan mereka berasa lucu. bagi pendapat saya, sekiranya ingin membuat tanda untuk menunjukkan sesuatu tampat atau benda haruslah menggunakan Bahasa Melayu yang betul atau dengan kata lain baku. Hal ini berlaku mungkin disebabkan kebiasaan mereka dalam mengucapkan perkataan tersebut. Bahasa dialek kadang-kadang sangat mempengaruhi kita dalam berbahasa Melayu dengan betul. oleh itu, kita haruslah bersama-sama mempraktikkan Bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan harian. tidak salah kitanya kita bercakap menggunkan dialek. namun, harus diingat semasa menulis kita haruslah mahir menulis menggunakan Bahasa Melayu dengan betul supaya tidak menyebabkan kekeliruan kepada orang lain. InsyaAllah...

Wednesday, February 9, 2011

Situasi 6 : Mat Ha Ha Ha~

Assalamualaikum semua… situasi keenam ini berlaku semasa saya dan teman saya Sally ingin mengambil wang di mesin ATM dekat Bitarasiswa.

Gambar hiasan.

 Keadaan pada masa tersebut tidaklah terlalu ramai. Kemudian masuk seorang lelaki dan disusuli oleh kami berdua. Kami bersembang seperti biasa dan tidak semena-mena lelaki tersebut seperti menegur teman saya. Tegurannya amat pelik, mungkin untuk menarik perhatian orang yang berada di situ. Tegurannya itu seperti apabila kita tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh teman kita secara automatiknya kita akan menyebut "ha" kan. Begitulah maksud yang ingin saya sampaikan.

Lelaki : Ha…ha…ha…ha…ha..( Bukan merujuk kepada  ketawa)

Teman saya menoleh kerana mengingatkan lelaki tersebut bercakap dengannya. Tetapi lelaki tersebut dengan muka tidak bersalahnya membuat tidak tahu sahaja. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perbuatannya. Semasa kejadian tersebut saya rasa lelaki tersebut seperti tidak waras. Selain itu, lelaki tersebut juga mengganggu dengan membuat bunyi perkataan yang di tulis di atas tersebut kepada  perempuan-perempuan yang berada di hadapannya.

Pada pendapat saya, adalah tidak sesuai sekiranya ingin menegur orang dengan cara tersebut kerana boleh menyebabkan orang salah anggap terhadap kita walaupun dengan niat untuk mengusik. Bagi saya, sekiranya lelaki tersebut ingin menarik perhatian perempuan-perempuan yang berada di situ, dia haruslah melakukannya dengan cara yang berhemah dan menegur dengan cara yang betul. Mungkin lelaki tersebut telah terbiasa berbuat demikian sehinggakan dia sudah tidak boleh meninggalkan tabiat tersebut. Lelaki tersebut boleh memulakan perbualan dengan cara yang lain dan tidak membuatkan orang lain merasa takut . Oleh itu, kita haruslah berbahasa dengan baik sekiranya ingin berbual atau  menegur orang lain. Penggunaan bahasa yang baik memberikan pandangan yang baik terhadap diri kita. Dengan ini orang akan lebih menghormati kita dan kita juga dapat mempraktikkan diri kita menggunakan bahasa yang baik. InsyaAllah...

Mat Ha Ha Ha~